Lelaki

petah bermain bicara,
ada jiwa yang percaya dan berharap,
mudah semai indah indah janji,
mudah punah patah kata sendiri,
lelaki.

diri berinti emosi,
emosi berinti egois,
egois berinti amarah,
amarah bersudah sesal,
lelaki.

katanya sayang tapi alpa,
bila hati bercumbu rindu,
baru dikenang pada yang menanti,
sebuah sosok yang setia disisi,
lelaki.

lelaki,
berkelahi dengan cemburu sendiri,
miliknya tiada yang bisa mampir mencoba,
bisa terkeluar bodoh sendiri kerana cinta,
tapi peduli apa, sekali mencinta,
digagah hingga hujung nyawa.

lelaki!

Radin Aizuddin

Di Pagi Jumaat, Aku Tulis Rindu


Dipagi jumaat,
Aku tulis rindu.

Senyum langit pagi jumaat telus,
Senyum langit hati ini lancung.

Kacau burung pagi jumaat ria-ramai,
Kicau jiwa sejak lewat lalu bungkam.

Pada hijau pokok dan tawa bersama mentari,
Hati ini dirulung nyenyat mati

Tika pasir pasir beratib pada Tuhan,
Jiwa ini bertahmid rindu padamu.

Pagi waktu bulan hilang binar indahnya,
kau masih rancak tari menari di jendela rindu.

Sehingga segak khatib melagu khutbah,
Sesampai itu aku susun nestapa untukmu.

Dipagi jumaat,
Aku tulis rindu.

Sisa


Corak-corak pelangi indah,
Sering teman sisi duka,
saat hati menyembah luka,
tika emosi dirantai lara.

yang berbaki dalam hati ; sisa,
yang terluah dalam bicara ; sisa,
yang terukir pada senyum ; sisa,
yang diludah dari celahan mata ; sisa.

hilang-hilang sudah rasa,
pergi-pergi telah jiwa,
yang tinggal kosong putih lembaran cinta,
tunggu nanti dicoret ceritera baru-rasa.

Tika ini,
kau purnama aku hamparan belantara,
tika ini,
kau air aku seisi unggun panas,
cuba mengikat tali satu, berakhir mustahil.

Radin Aizuddin, Ramadhan 21