Bahagia Esok

hari ini,
masih tidak mampu tersenyum,
hanya ukiran senyum paksa,
kerana bahagia belum masih bersama,
datang dan pergi,
kekurangan melata merantai diri,
tidak sempurna, tidak berharta,
hari masih berarak awan hitam,
tiada sinar.

hari esok,
janji untuk cipta bahagia,
kata kosong bukan janji,
usaha gigih, siang malam tiada senggang waktu menyedut hela lega,
hanya tujuan cari senang seperti mereka,
lahir ditaburi mewah diri,
hanya syukur, ada yang alpa,
harta makan diri,
bukan itu impian esok, bahagia dunia akhirat, dengan izinNya.

Radin Aizuddin, April 2013

Dua Belas Rindu




Satu, aku isi ruang hati dengan namamu.

Dua, rindu tiada terpaksa hanya runtum kepadamu.

Tiga, cinta terlahir kurniaan Ilahi, daripada aku untuk kamu, tulus.

Empat, berlayar bersama bahtera cinta, berhias cantik bersama kenangan, indah.

Lima, baik buruk aku kamu terima, indah nian kamu aku syurkur, bidadari.

Enam, duka kadang kadang mencemar suka, terpalit bersama lipatan kasih, kita utuh.

Tujuh, susah senang lafaz bersama, bukan hanya ukiran kata kata, bersaksi masa lalu.

Lapan, segulung janji terpegang rapi, dibawa bersama dititian kasih, akujaga hatiku, kamu setia hatimu.

Sembilan, bayangmu tiada disisi, suram hari tanpa seri, tetap dihati tidak mati, bidadari hati.

Sepuluh, irama rindu beralun merdu, berganti hari coretan baru, tiada jemu setia padamu, hati bernoktah cinta kamu.

Sebelas, angin lintang ditepis sudah, badai gelora lepas berlalu, bersabung mati pertahan kamu, bila perlu ikrar aku.

Dua belas, susur jalan bertemu kembali, lengkap putar 12 purnama, setahun sudah usia cinta, namun rasa padamu tidak ada henti.

Didedikasikan kepada Liyana Najwa

- Radin Aizuddin, 15 April 2013

Ilmu

Ilmu,
Ku panggil-panggil  tidak bersahut,
Ku risik-risik tidak terusik,
ku pinang-pinang tidak kecundang.

 Ilmu,
Ku susah-susah baru kau resah,
Ku sakit-sakit baru kau jeling,
ku usaha lelah baru kau datang.

Ilmu, ku simpan-simpan jadi pegangan,
Ku guna-guna ke masa depan,
Ku kongsi-kongsibenih ilmuan.

Ilmu,
Ku mati-mati bawa ke syurga,
Ku tinggal-tinggal jadi ikutan,
Ku syukur-syukur selimut kebahagiaan.

- Radin Aizuddin, April 2013

Bidadari, jangan mati!

Jalur liku cerita semalam,
Serumpun kenangan terbina bersama,
Memori tersimpan kemas tersergam,
Rapi terikat nostalgia silam.

Rindu menerkam,
Menggigit tajam pinggiran hati,
Rapuh diri bersama rindu mati,
Pilu yangbtiada hujung,
Tidak usai runtum ke mati.

Maha suci,
Kepingin bebas dari "neraka" ini,
'Neraka' rasa rindu mati,
'Neraka' rasa cinta pergi,
'Neraka' rasa luka pedih,
Hamparkan satu kali lagi bahagia,
Hanya aku, Kau dan kita.

Persetankan rasa 'neraka' ini,
Berbakti pada yang mengenang budi,
Setia pada yang tulus suci,
Bidadari, jangan matii!

- Radin Aizuddin, April 2013

Ayah

kasar tapak tangan pimpin tanganku,
kuat erat genggam jemari membimbingku,
usia bermula tiada pengertian,
kehidupan tiada tujuan,
tiada mengenal erti susah senang,
hanya datang dan pergi tidak peduli.
aku seawal usia mudaku.

kau menyuap ku dengan kesenangan,
walau susah raut wajah tiada kelihatan,
kedut keringat selindung disebalik senyum lelah,
demi bahagia aku,
kau korban bahagia kau,
kau susah demi aku,
kau korban kesenangan kau.

usia ku kian dewasa,
usia mu meningkat tua,
masih bersusah siang malam untuk aku,
untuk melihat aku di puncak kehidupan,
walau kau terpaksa di dasar kesusahan,
untuk aku hidup dalam senang,
meski kau perlu berlipat tulang.

mengerti kini aku ritma sebuah kehidupan,
susah untuk senang,
senang untuk susah,
kehidupan yang bakal aku sendiri gagahi,
bersama semua pengajaran kau wariskan.

kini,
kedut wajahmu jelas terlihat,
kelihatan meski kau cuba sorokkan,
tulang tua mu menghakis kekuatan,
helaian putih tersisir rapi dipuncak diri,
tiba masa aku membalas budi.
terima kasih AYAH.

Radin Aizuddin, April 2013

---

Adrenalin menderu kencang,
Darah mengalir deras,
Hangat seluruh badan,
Peluh basah membanjir tubuh,
Terpaku tidak berganjak,
Berdiri tidak beralih,
Mata tidak berkedip,
Angin sesekali membuai rambut,
Mulut terkunci tidak berkata,
Lidah kelu tidak bermaya,
Nafas keluar masuk tidak sekata,
Hidung kembang kuncup sesak,
Diruang tamu itu hatiku dibunuh,
Hancur lebur berkecai tidak bisa dicantum,
Remuk retak beribu,
Kau dipimpin pergi,
Tinggal aku sendiri,
Hati mati, jiwa mati, diri mati,
Tunggu masa untuk menghadap Ilahi,
Nyawa berpisah badan,
Datang pula dia membawa cahaya,
Cahaya ‘move on‘,
Ayuh, ‘you need a new love to forget the old ones‘.