Sudut Malam


Bersandar di sudut malam
Dingin malam tajam menggigit diri
Rancak bibir bersenggama bersama sigaret
Inzalnya meludah kepul kepul dosa

Secangkir kopi setia berteman
Panasnya ku kira 'selimut' mesra
Sedang sibuk menyulam impian
Rindu dendam merangkak datang

Harapan seindah kayangan
Singgah sana tersergam berhias intan
Cukup aku dan kau
Rancak bersekedudukan dipentas dosa
Menari riang
Bercanda girang

Disudut malam
Impian mengundang penasaran
Sudah diri diseru angan-angan
Masanya bergocoh dek realiti
Lempar juah ilusi mati

-----
Kerna esok khayalan yang pasti.

- Radin Aizuddin, 1.40 Pagi


Bertatih Kembali

lewat petang
gigih mencari seraut senyuman
......

magis
terukir senyum suram
dari bibir sang mentari
melambai lesu berlalu pergi

sama senyumku yang suram
rawan hati tercungap lelah
fikirkan sosok;
pembunuh gemerlapan rasa
pastinya dibuai bahagia

hempedu dilempar
bersemadi sebuah senyuman

.....

jasad sudah tidak diharga insan
jangan pula dilupa Tuhan
bertatih kembali.

- Radin Aizuddin , Jun 2013

Hari Bapa Ku Tulis Bicara [ Selamat Hari Bapa]


Berbaring dalam dakapan malam
Melihat detik detik masa berlalu
Seluruh jiwa menjadi sendu
Mengenang seraut wajah dan kasihnya.

Kadang mata kasar tidak melihat
Kerna sifat dan pekertinya yang tegar menyimpan jernih air mata
Tetapi disebalik kedut yang menghampar wajah
Lelah pengorbanannya tidak ternilai.

Se-Orang Ayah,
Se-Orang khalifah
Memikul amanah Tuhan gigih

Kata-kata ini dilacur mesra
Saat fajar 16 Jun 2013 menuju langit Tuhan
Untuk aku titip pada seorang Ayah
Yang banyak melalui jerih pahit kehidupan
Hanya demi menyuap aku dengan kebahagiaan.

Ayah,
Semoga jasa dan pengorbanan mu dibalas Tuhan
Lelah mu untuk aku,
Akan ku bawa pulang sebuah kejayaan
Demi senyum girang di wajah mu.


Sabtu, Tengah Hari dan Sepi

Tengah hari aku berteman sepi
sahabat-sahabat masih mengulit mimpi
seorang dikamar
seorang di ruang tamu
tidur dan tidur
aku
bertemankan lembaran putih
lagu dan sepi
cukup damai untuk aku baitkan puisi ini
cukup rona sebak rasa untuk aku melayan jiwa ini
sendirian
kekosongan
kelohongan
kebodohan
kehilangan

mana awak?
awak yang selalu teman saya
awak yang sering dulu kucup pagi saya
awak yang selalu belai mesra saya
awak yang selalu dendang merdu dicuping telinga
awak yang selalu mencintai saya
awak sudah pergi dari hidup saya?

saya takut
takut untuk menggangu awak
awak yang dalam kebahagian
awak yang dalam kegembiraan
awak yang diteman sosok sosok lain
awak yang melupa masih ada jasad menanti
menanti dengan penuh rindu
menanti dengan air mata
menanti dengan duka lara
menanti dengan cinta
cinta yang awak dan saya cipta
cinta yang kian rapuh?
cinta yang kian pudar?
cinta yang kian hilang?
Cinta yang mengorak langkah kecil
berlalu pergi.

Lembaran putih ini menjadi saksi
satu persatu air mata menitis
Jatuh menyembah bumi
Jatuh ditarik arus graviti
Jatuh kerana rasa yang sudah mati
Jatuh kerana restu yang telah pergi
Jatuh kerana hati seperti ruang kosong
tiada berpenghuni
tiada bertuan.

awak
awak yang tengah mengukir senyum bahagia
awak yang sedang asyik menguntum senyum
awak yang lena diulit indah
awak yang masih berada diruang paling atas di hati saya
jika dengar rintih hati ini
sedarlah
kunci hati ini selamanya tertulis atas nama awak.

Radin Aizuddin, 15 Jun 2013
1.28 PM

Ingat

Indah
Waktu rasa kita bersatu
Bagai seluruh alam menempik gembira
Seluruh hati berlonjakan bahgia
Suatu masa dahulu..

Ingat
Waktu ingin melepaskan;
Saat susah menjadi dakapan

Ingat
Tika berhenti menguntum rindu
Benci rancak memenuh kubikel ruang rasa;
Saat bahgia tercipta mengukir senyum rawak

Ingat
Bila senyumnya mula mengundang rasa celaka
Hadirnya sering bikin gundah gulana;
Saat suaranya kau butuh setiap masa

Saat hati berantakan
Diburu rasa kelemasan
Sembah sujud pada Tuhan.

- Radin Aizuddin, Jun 2013